Portal berita terbaik anda

Utama

Polis Melaka tidak halang Zakir Naik solat berjemaah di Masjid Cina

MELAKA – Polis tiada halangan dengan kehadiran pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang dijemput ke satu program di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada Sabtu ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan tiada sebarang ceramah akan diadakan oleh Zakir, sebaliknya beliau hanya akan menunaikan solat sunat di masjid berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya patuh akan arahan yang sudah dikeluarkan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari, sebelum ini.

“Program itu tiada apa-apa ceramah yang akan disampaikan (oleh Zakir), oleh itu polis tiada halangan.

“Cuma solat berjemaah (beribadat) sahaja tiada masalah. Saya tidak bagi kebenaran cuma tiada halangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Raja Shahrom berkata, sebarang kebenaran dan kelulusan hanya boleh diberikan oleh Jabatan Mufti negeri.

“Ceramah (kebenaran) hanya melalui mufti yang saya percaya tidak akan diluluskan seperti keputusan Ketua Menteri.

“Bagaimanapun, pemantauan akan dilakukan polis pada majlis itu nanti,” katanya.

Terdahulu, poster program ‘Malam Islam Bersatu’ dimuat naik oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, di laman sosial Facebooknya, petang semalam.

Ia turut memaparkan foto pendakwah terkenal dari India itu, sekali gus mencetuskan pertikaian pelbagai pihak.

Loading...

Leave a Reply