PKR ada berbelas nama calon PRK Rantau – Anwar

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim hari ini berkata partinya belum memutuskan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau daripada berbelas nama yang telah dicadangkan.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu akan berbincang lebih lanjut mengenai kesemua cadangan nama tersebut pada mesyuarat Biro Politik PKR yang dijangka esok atau lusa.

“Kita sudah bersedia (menghadapi PRK DUN Rantau) dan kita akan bermesyuarat lagi hari esok atau hari Rabu. Senarai (nama calon) sudah ada. Banyak. Kita ada berbelas nama,” katanya pada sidang media selepas sesi townhall ‘Digital Native Agenda’ di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

PRK DUN Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Loading...

Leave a Reply