Portal berita terbaik anda

Utama

PKP seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun, ziarah Aidilfitri tidak dibenarkan – Muhyiddin

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan menguatkuasakan larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Keputusan terbaharu itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata, sidang khas itu juga memutuskan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada hari ini hingga 6 Jun depan seperti yang telah diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu.

Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Perdana Menteri berkata, larangan lain termasuklah mengadakan perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta.

“Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” katanya. -K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply