BANGKOK – Malaysia terus gagal merampas Piala Thomas selepas 26 tahun menanti apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia di Impact Arena, di sini hari ini.
Biarpun bermula baik dengan meraih mata pertama menerusi Datuk Lee Chong Wei, namun kegagalan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Lee Zii Jia dan Aaron Chiah-Teo Ee Yi mengutip mata menyebabkan pasukan negara terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal.
Chong Wei menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas menewaskan Anthony Grinting 21-19, 21-16.
Bagaimanapun V Shem-Wee Kiong gagal menghadiahkan mata kedua apabila tumpas 19-21, 22-20, 13-21 kepada Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Zii Jia tunduk 15-21, 21-11, 13-21 di tangan Jonatan Christie dan Aaron-Ee Yi melengkapkan kekalahan Malaysia selepas tewas 18-21, 21-10, 9-21 kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply