Portal berita terbaik anda

Utama

PH tumbang kerana ‘badi’ aniaya Utusan Melayu

HANYA empat bulan selepas institusi keramat Melayu, iaitu Utusan Melayu (M) Berhad menggulungkan perniagaan, maka pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) turut berkubur.

Benarlah seperti yang dikata, doa orang yang teraniaya sangat makbul.

Utusan Melayu, yang merupakan satu-satunya institusi media milik orang Melayu yang dibangunkan dengan darah dan air mata dibiarkan mati begitu sahaja oleh para pemimpin Melayu dalam PH yang sebahagian besarnya naik kerana jasa institusi keramat itu.

Betul, institusi Utusan runtuh kerana masalah kewangan yang dihadapi akibat salah urus tadbir serta para editor yang korup. Namun pemimpin Melayu dalam PH turut memainkan peranan dengan memberikan tekanan supaya hayat Utusan dipendekkan.

Melarang sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi melanggan akhbar Utusan Malaysia merupakan polisi pertama yang dilaksanakan oleh PH sebaik sahaja mereka berkuasa iaitu melalui Menteri Pendidikan mereka, Dr. Maszlee Malek.

Alhamdulillah, ekoran tindakan drastik ke atas institusi keramat Melayu itu, Dr. Maszlee juga tidak mampu bertahan lama sebagai menteri apabila diminta meletakkan jawatan.

Dalam sekelip mata beliau hilang jawatan seperti mana nasib para pekerja Utusan juga.

Polisi keras kerajaan PH terhadap Utusan termasuk tidak meneruskan kontrak membekalkan tablet guru. Kontrak itu sepatutnya merupakan talian hayat untuk Utusan memastikan kedudukan kewangan stabil dan mampu terus beroperasi.

Itu diikuti dengan pelbagai surat pekeliling dan polisi lain bagi memastikan pengedaran akhbar Utusan Malaysia di sekat.

Penutupan Utusan menyebabkan kira-kira 700 orang hilang kerja, Sebelum itu telah diadakan skim perberhentian suka rela (VSS) dengan 800 orang berkorban demi memastikan hayat Utusan terus panjang.

Namun, VSS juga tidak dapat membantu, apabila perniagaan Utusan digulung, pekerja-pekerja diberhentikan serta merta tanpa ada sebarang pampasan.

Malah sehingga kini bagi gaji mereka sebanyak dua bulan juga masih beluh dibayar. Mereka merayu kepada pemimpin PH yang berkuasa pada ketika itu terutama Tun Dr. Mahathir supaya membantu, tetapi tiada apa dilakukan.

Walaupun Dr. Mahathir ada berkata sebahagian pekerja Utusan itu akan diambil semula oleh syarikat baru, namun sehingga kini tidak ada khabar berita.

Yang pasti syarikat Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1938 di Singapura yang sama-sama berjuang untuk memastikan kemerdekaan negara kini telah terkubur.

Aset-aset milik institusi Melayu itu kini masih lagi berada di bawah pengurusan pelikuidisasi dan telah dimasukkan ke dalam notis untuk dilelong.

Kalau media lain, kerajaan tidak ada masalah untuk mengarahkan KWSP, Khazanah, Percetakan Nasional dan sebagainya untuk selamatkan.

Tetapi apabila tiba giliran Utusan, mereka pakat-pakat bertepuk tangan melihat Utusan, sebuah institusi yang dibina oleh orang Melayu berkubur begitu sahaja.

Terkuburnya Utusan bermakna terkubur juga khazanah tulisan jawi yang menjadi perjuangan akhbar itu selama ini.

Hari ini, selepas empat bulan mereka bertepuk tangan melihat Utusan Melayu ditutup, kerajaan PH yang sepatutnya gagah perkasa kerana dipilih oleh rakyat untuk melawan kleptokrasi akhirnya turut terkubur.

Mungkin ada yang akan kata penulisan ini agak keterlaluan mengaitkan penutupan Utusan Melayu dengan kejatuhan kerajaan PH, namun saya percaya sedikit sebanyak doa kakitangan Utusan Melayu yang teraniaya turut memainkan peranan.

Gaji petugas Utusan Melayu bukannya besar seperti konglemerat media yang lain. Tetapi pekerja Utusan Melayu setia dan sedia berkorban.

Tanpa gaji selama tiga bulan mereka tetap memastikan akhbar Utusan Malaysia diterbitkan setiap hari.

Namun, kerana tekanan daripada kerajaan PH (secara langsung dan tidak langsung) Utusan ditutup dan pekerja tidak dibayar gaji mahupun pampasan. Mereka diberhentikan buta-buta begitu sahaja.

Memang benar ada banyak lagi faktor lain yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH, namun doa dan rintihan para pekerja Utusan Melayu sudah pasti turut memberi kesan.

Yakinlah Allah sentiasa mendengar doa yang teraniaya, mungkin juga slogan Utusan Suara Keramat itu ada kebenaran. – SM

Loading...

Leave a Reply