Portal berita terbaik anda

Politik

PH sokong Mahathir untuk halang kerajaan kleptokrat, kata DAP Sabah

KOTA KINABALU – DAP Sabah hari ini berkata, isu peralihan kuasa bukanlah kebimbangan utama pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada masa ini.

Setiausahanya Chan Foong Hin berkata, keputusan pemimpin PH untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pagi ini adalah bagi menghalang kemunculan semula kerajaan kleptokrat yang tidak sihat untuk negara.

“Blok politik yang menyokong Muhyiddin Yassin terdiri daripada kleptokrat Umno dan parti konservatif agama, iaitu PAS.

“Kita tidak boleh membiarkan pemimpin ini mendapat kuasa. Ia tidak sihat. Kita perlu mengekalkan kepelbagaian budaya sebagai ciri teras negara ini,” kata Chan yang merupakan ahli Parlimen Kota Kinabalu ketika ditemui pada satu acara di sini.

Beliau berkata, pemimpin PH tidak berminat dengan cadangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang sebelum ini, tetapi menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru.

Katanya, sekiranya Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan, ia tidak akan berjaya kerana semua parti politik perlu terlibat.

Chan berkata, Warisan konsisten dalam menyokong Mahathir supaya kekal sebagai perdana menteri sepanjang krisis yang berlaku.

Katanya beliau bertemu dengan pemimpin Warisan Mohd Sahfie Apdal malam tadi dan ketua menteri Sabah itu menegaskan bahawa pendirian parti itu tidak berubah sejak krisis berkenaan meletus seminggu lepas.

Loading...

Leave a Reply