Portal berita terbaik anda

Politik

PH hancur kalau Anwar tak jadi PM

KUALA LUMPUR – Tindakan untuk menafikan hak Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Perdana Menteri akan membunuh gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Syed Ali berkata, penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam masa tiga tahun lagi akan menyebabkan Anwar tidak bersedia untuk menghadapi PRU ketika itu.

“Kalau PRU15 baru serah (jawatan PM kepada Anwar) itu nak membunuh parti dan PH, tak ada masa untuk Anwar berkempen, dia mesti bersedia sekurang-kurangnya dua tahun untuk mengatur pelbagai rancangan dan kempen,” katanya ketika menjadi moderator Majlis Memperingati 50 tahun Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya.

Anwar dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dijadualkan menjadi ahli panel program itu namun tidak dapat hadir.

Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika ini menemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri menziarahi Istana Kelantan berikutan kemangkatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, hari ini.

Manakala Mohamad Sabu kini berada di luar negara atas urusan rasmi.

Dr Syed turut berkata, beliau tidak percaya dengan kata-kata Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh yang dijanjikan.

Ujarnya, Dr Mahathir tidak mempunyai pendirian tetap dan sukar dipercayai.

“Dr Mahathir ini dia cakap lain, saya memang tak boleh pegang cakap dia.

“Saya tidak tahu, 10 kali dia cakap, 10 kali jawapannya lain,” katanya lagi.

Dr Syed Husin merujuk kepada kenyataan yang dibuat Dr Mahathir pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, kelmarin bahawa beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri.

Pada Jun lalu, dalam wawancara bersama wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan pendirian bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh tiga tahun. -MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply