Portal berita terbaik anda

Politik

PH dahului calon lain di Semenyih – Zuraida

HULU LANGAT – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yakin calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali mendahului tiga calon lain menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, berkata Muhammad Aiman mendahului 60 peratus berdasarkan maklum balas daripada pengundi hasil bancian menerusi telefon yang dilakukan jentera Pakatan Harapan (PH).

“Jentera empat parti komponen PH giat melaksanakan gerak kerja dirancang, khususnya sentuhan rumah ke rumah.

“Ketika ini keadaannya adakah 60:40 dengan calon PH mendahului berdasarkan maklum balas pengundi yang diperoleh jentera kami yang membuat panggilan telefon.

“Namun, kita tak boleh ambil mudah kerana angka itu boleh berubah atas faktor pengundi yang tidak turun mengundi, jadi jentera perlu terus laksanakan gerak kerja dengan komitmen 100 peratus,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasminya ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman.

Terdahulu, Azmi berkata, pasukan bomba dan penyelamat negeri itu sudah memeriksa semua 25 pusat mengundi dan satu pusat pengiraan undi bagi PRK DUN Semenyih.

“Berdasarkan pemeriksaan, kami dapati aspek keselamatan kebakaran di semua lokasi itu berada dalam keadaan baik, dan jentera juga dapat masuk ke kawasan itu tanpa halangan jika berlaku sebarang insiden.

“Kami turut memeriksa tiga hotel bajet di Semenyih yang kini menjadi tumpuan ahli politik pada PRK ini, dan semua aspek keselamatan dipatuhi pemilik premis.

“Kami juga mengerahkan 50 anggota bomba untuk bersiap siaga dengan sebarang insiden sepanjang kempen ini, dan cuti mereka akan dibekukan bermula 25 Februari sehingga 3 Mac depan,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, 30, dengan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’.

Loading...

Leave a Reply