Portal berita terbaik anda

Utama

Pesta liar di homestay pulak dah…

POLIS menahan 11 individu, termasuk tiga wanita selepas dipercayai terbabit dengan pesta liar dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan di sebuah rumah inap desa (homestay) di Masai, di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan kesemua individu berusia 15 hingga 23 tahun dan merampas dadah disyaki jenis ketamine kira-kira 2.08 gram dan kira-kira empat biji pil ekstasi.

Katanya, daripada jumlah itu, hasil saringan air kencing mendapati 10 individu, termasuk tiga wanita positif dadah jenis ketamine dan methamphetamine, selain siasatan awal mendapati kesemuanya bukan penghuni di premis terbabit serta gagal memberi alasan munasabah kerana berkumpul.

“Hasil semakan rekod mendapati, dua lelaki dan seorang wanita daripada jumlah itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah.

“Kesemua 11 suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek positif dadah pula akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemuanya turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 April untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Hasil dari serbuan dan tangkapan ini menunjukkan ada lagi sebilangan masyarakat masih degil, mementingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Sehubungan itu, polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dengan berada di rumah dan dilarang menganjur sebarang pesta atau keramaian, tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP.

Loading...

Leave a Reply