Perak negeri terbaik kawal Covid-19

PERAK berada di tangga teratas dalam senarai perkembangan terbaik dalam memerangi penularan pandemik wabak Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, negeri ini juga turut tersenarai antara enam negeri yang bebas daripada klasifikasi zon merah bagi kes aktif.

“Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, Perak muncul negeri yang teratas dalam senarai negeri yang mencatatkan perkembangan terbaik dalam memerangi penularan pandemik Covid-19.

“Data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan Perak mempunyai bilangan kes aktif terendah, iaitu 25 pesakit atau 9.9 peratus yang masih menjalani rawatan berbanding dengan jumlah 252 kes positif jangkitan Covid-19 yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Faizal berkata, Perak bebas daripada zon merah kes aktif susulan penurunan jumlah kes jangkitan baru di negeri itu.

“Sesuatu daerah diklasifikasikan sebagai zon merah apabila bilangan kes aktif melebihi 41 kes. Satu lagi khabar menggembirakan untuk dikongsi apabila Perak adalah salah satu daripada enam negeri yang bebas daripada klasifikasi zon merah bagi kes aktif,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada setiap petugas barisan hadapan perubatan, keselamatan dan pentadbiran yang sudah bekerja keras bagi mencapai angka yang melegakan itu.

“Tahniah juga kepada semua rakyat negeri ini yang sudah memberi komitmen terbaik mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terus mematuhi PKP, amalkan penjarakan sosial, selalu mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, moh kita hijaukan semua daerah di negeri ini, Perak boleh,” katanya.

Perak berada di tempat pertama dengan hanya 25 pesakit atau 9.9 peratus daripada 252 orang yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini yang masih menjalani rawatan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui kenyataannya memaklumkan setakat 12 tengah hari semalam, Perak merekodkan kumulatif 252 kes terkumpul, 227 daripadanya sembuh dan 19 sedang dirawat.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *