Portal berita terbaik anda

Utama

Penyu tanggung azab straw tercucuk hidung

KELIBAT beberapa individu dengan penuh kudrat dan berhati-hati cuba menarik straw daripada hidung penyu, cukup untuk menggambarkan rasional larangan penggunaan bahan itu di Wilayah Persekutuan bermula 1 Januari 2020.

Video dimuat naik pakar perubatan tempatan di Facebook miliknya menunjukkan bagaimana penyu itu menahan kesakitan apabila straw tercucuk di dalam hidungnya hingga berdarah.

Beberapa individu dilihat berhati-hati dalam proses menarik straw itu keluar sebelum darah menitik daripada hidung penyu itu sebaik ia berjaya dikeluarkan.

Dalam status ditulis bersama video berkenaan, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor, berkata video tular pada 2015 itu menjadi titik tolak kepada pemilihan straw sebagai antara bahan kempen menghentikan penggunaan plastik.

“Video ini ditonton lebih daripada 30 juta orang. Antara negara melaksanakan pengharaman straw plastik adalah United Kingdom, Taiwan, Hawaii, Scotland, Costa Rica, Kanada, India dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun mengharamkan penggunaan straw plastik tidak akan menyelesaikan semua masalah, pakar alam sekitar percaya ini adalah langkah permulaan baik kepada perubahan tingkah laku berskala lebih besar.

“Walaupun isu straw plastik itu nampaknya seperti kecil pada mata ramai orang awam, hakikatnya besar di mata golongan pencinta dan pakar alam sekitar,” katanya.

Keputusan kerajaan mengharamkan penggunaan straw plastik bermula 1 Januari 2020 mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna dengan sebahagiannya tidak menyokong kerana bahan itu kononnya kecil dan tidak memberi impak besar kepada pengurangan pencemaran, selain antara keperluan kepada individu tertentu.

Memetik beberapa laporan berkaitan pencemaran alam sekitar, Mohd Rushdan berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah sembilan juta tan plastik dilepaskan ke dalam laut setiap tahun, membunuh banyak hidupan laut dengan 2,000 tan daripadanya adalah straw.

Beliau turut membidas beberapa pihak yang memperlekehkan tindakan kerajaan melarang penggunaan straw sedangkan enggan mengharamkan arak terlebih dahulu kerana banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang menyentuh kepentingan menjaga alam sekitar.

“Agaknya mereka terlepas pandang bahawa memelihara alam sekitar itu adalah ajaran Islam dan perjuangan ini termasuk dalam amalan soleh seorang insan.

“Menjaga alam sekitar dan kebersihan termasuk dalam maqasid syariah ke arah memelihara jiwa/nyawa dan agama,” katanya.

Loading...

Leave a Reply