Portal berita terbaik anda

Utama

Pensyarah minta maaf kata Dr Mujahid ‘kuda tunggangan DAP’

Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusof hari ini menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai “kuda tunggangan DAP”.

Kamarul juga memohon maaf kepada Mujahid atas kenyataan itu yang dibuat di Facebook pada 27 Mei 2017.

Justeru Mujahid juga menarik balik samannya terhadap Kamarul, kata peguam Fitri Asmuni kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nik Hasmat Nik Mohamad.

“Penyelesaian melibatkan plaintif (Mujahid) menarik balik samannya dan Kamarul Zaman menarik balik tuntutan balasnya selepas beliau membacakan kenyataan di mahkamah,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Kamarul berkata beliau kesal dengan penerbitan artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkannya semula atau apa-apa kenyataan seumpamanya.

“Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Mujahid di atas penerbitan artikel itu,” katanya.

Nik Hasmat kemudian membacakan penghakiman persetujuan susulan pembatalan saman.

Fitri berkata kedua-dua pihak setuju tiada ganti rugi dan kos yang perlu dibayar.

Mujahid sebelum ini memfailkan saman bernilai RM5 juta terhadap Kamarul berkenaan perkara itu.

Beliau kemudian menyatakan kesediaannya untuk menarik balik saman itu jika Kamarul membuat permohonan maaf secara terbuka.

Loading...

Leave a Reply