Portal berita terbaik anda

Utama

Penoreh getah terduduk sayu lihat rumah hangus dijilat api

SAYU hati warga emas apabila kediaman yang menjadi tempat dia bersama anak dan cucu berteduh musnah dalam kebakaran di Kampung Gerong Apal, Jertih, Besut, 9.20 pagi hari ini.

Bagaimanapun, lelaki berusia 65 tahun itu bersyukur apabila anak yang berumur 39 tahun dan cucu berusia dua tahun selamat dalam kejadian itu.

Difahamkan ketika kejadian, dua beranak terbabit dikatakan tidur dan terjaga apabila ruang rumah papan itu dipenuhi asap tebal.

Ketika kejadian, warga emas terbabit keluar menoreh getah di kebun berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, dua beranak terbabit sempat menyelamatkan diri sebaik terjaga dari tidur.

Beliau berkata, kebakaran menyebabkan keluarga mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah musnah.

“Sebaik menerima panggilan kebakaran pada 9.42 pagi, sepasukan 16 anggota diketuai Komander Operasi PBK I Seman Awang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah jentera tangki air,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sudah membakar hampir keseluruhan rumah. Muhammad Tarmimi berkata, operasi memadamkan kebakaran rumah berkenaan mengambil masa selama 20 minit.

“Siasatan bagi mencari punca kejadian dan kerugian yang dialami mangsa sedang dijalankan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply