Portal berita terbaik anda

Utama

Pengenalan tulisan khat dilaksanakan secara pilihan

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) mulai 2020 diteruskan sepertimana dirancang dengan mengambil kira beberapa langkah penyesuaian berkaitan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Kabinet yang bermesyuarat semalam menetapkan supaya pengenalan tulisan khat itu dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah.

“Jemaah Menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks.

“Jemaah Menteri juga secara sepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat ini tidak akan dinilai dalam apa-apa ujian dan peperiksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Melaka berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun hadapan walaupun mendapat tentangan daripada segelintir pemimpin DAP dan pertubuhan mewakili pendidikan Cina.

Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya kepada dasar kemakmuran bersama malah tidak pernah membantah penggunaan tulisan dalam Bahasa Cina yang dianggap sebagai sesuatu yang istimewa.

Dalam pada itu, Maszlee menambah, kementerian berharap melalui keputusan dibuat Kabinet itu, isu pengenalan tulisan khat tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

“Kementerian dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara,” katanya.

Tegas beliau, langkah pengenalan khat bukanlah sesuatu yang baharu dan ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menggalakkan murid menghargai warisan sejarah tulisan penting bagi bahasa Melayu.

Jelasnya, pengenalan tulisan khat itu sebahagian daripada aktiviti dalam subjek Bahasa Melayu.

Ditanya sekiranya ada murid yang enggan mempelajari tulisan khat berkenaan, beliau memberitahu, perkara itu terserah kepada guru yang diberi tanggungjawab.

“Jadi terpulang kepada guru untuk menggunakan kreativiti mereka dalam aktiviti ini.

“Tulisan ini bukan sesuatu yang asing dalam warisan budaya negara kita, jata negara ada tulisan jawi, wang kertas pun ada, oleh itu ia bukan sesuatu yang baharu atau cuba untuk ‘Arabisasi’ atau ‘Islamisasi’ murid,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply