Portal berita terbaik anda

Dunia

Penganut Hindu gesa bina kuil atas tapak runtuhan masjid

NEW DELHI, INDIA – Ribuan aktivis dan sami yang mempunyai kaitan dengan parti nasionalis, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi berhimpun di New Delhi, hari ini untuk menggesa kerajaan membina kuil di atas tapak runtuhan masjid pada abad ke-16.

Gesaan untuk pembinaan kuil baharu di bandar Ayodhya itu dibuat menjelang pilihan raya pada Mei depan yang mana Modi bertanding untuk meneruskan penggal kedua pemerintahannya.

Pada 1992, sekumpulan militan Hindu bertindak biadab merobohkan masjid berusia beberapa abad di bandar utara itu hingga mencetuskan kekecohan dan meragut sekurang-kurangnya 2,000 nyawa di seluruh India yang menjadi insiden keganasan kaum terburuk sejak pemisahan pada 1947.

Kebanyakan penganut Hindu percaya Tuhan Pahlawan, Ram dilahirkan di Ayodhya dan mereka percaya kuil sebenarnya dibina di atas tapak asal masjid yang dibina pemerintah Islam pada 1528.

Menurut jurucakap Majlis Hindu Dunia atau Vishwa Hindu Parishad (VHP) yang mempunyai hubungan rapat dengan BJP, para sami mahu kerajaan memperkenalkan undang-undang untuk membuka jalan kepada pembinaan kuil tersebut.

Difahamkan, penganut Hindu dan orang Islam telah membuat petisyen di Mahkamah Tinggi untuk menyelesaikan isu tersebut, namun tiada keputusan dibuat hingga kini.

BJP, VHP dan gerakan Rashtriya Swayamsevak Sangh turut meminta kerajaan mengeluarkan perintah eksekutif untuk membina kuil itu melangkaui Mahkamah Tinggi.

Akhir bulan lalu, puluhan ribu penganut Hindu berhimpun di Ayodhya untuk membuat gesaan sama. – Reuters

Loading...

Leave a Reply