Portal berita terbaik anda

Utama

Penduduk bina ‘kubur’ tepi jalan, elak orang buang sampah

Tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kontraktor pembersihan semata-mata sebaliknya ia menjadi tanggungjawab semua pihak.

Ini bagi memastikan kawasan di sekeliling kita sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan indah.

Malangnya, tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju.

Sebahagian besarnya masih menjadikan membuang sampah merata-rata dengan menjadikan kawasan di tepi jalan sebagai tempat pembuangan sampah haram.

Namun, bagi penduduk Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu, mereka mempunyai cara terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menerusi perkongsian di media sosial, seorang pengguna Facebook memuat naik gambar satu kawasan yang menjadi tempat pembuangan sampah telah dibersihkan sebelum dibina kubur olok-olok di lokasi tersebut.

Menurut penduduk setempat, masalah pembuangan sampah di kawasan itu telah berlarutan sejak sekian lama walaupun PBT telah meletakkan tong sampah berhampiran tempat itu.

Ternyata, langkah membina ‘kubur’ itu berjaya menyelesaikan masalah tersebut apabila tiada lagi mereka yang berani membuang sampah di situ.

Sementara itu, netizen memuji idea unik penduduk kampung dan menyifatkan ia sebagai langkah terbaik ‘mengajar’ mereka yang tidak mempunyai kesedaran sivik terhadap isu kebersihan.

Loading...

Leave a Reply