Portal berita terbaik anda

Sukan

Pelumba Terengganu kejutkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017

Pelumba Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan mempamerkan kayuhan bertenaga mengejutkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Eiman Firdaus Mohd Zamri dalam saingan final 4 Kilometer Kejar-mengejar Individu Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 hari ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa empat minit 44.215 saat berbanding Eiman dari Johor yang mencatat 4:51.730s pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Rakyat di sini.

Pingat gangsa menjadi milik Waldron Chee Wen Chon dari Sabah dengan catatan 4:55.753s menewaskan Muhsin Al Redha Misbah dari Selangor yang merekod masa 4:57.910s pada perlumbaan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Anak kepada peniaga pasar borong di Terengganu itu, tidak menyangka dapat melakukan kayuhan terbaik itu kerana mengakui berbasikal trek bukan acara kegemarannya.

“Alhamdulillah syukur, saya tidak meletakkan sasaran meraih emas acara ini memandangkan ini kali pertama saya sertai Sukma. Jurulatih hanya meletakkan sasaran menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

“Saya rasa aksi saya hari ini berada di luar kemampuan sebenar. Sokongan daripada jurulatih dan keluarga yang datang dari jauh menambah semangat saya.

“Sebelum saya berlumba saya minta petua daripada pelumba berpengalaman seperti Mohammad Saufi Mat Senan. Saya tidak nafikan berasa gemuruh kerana pencabar saya pelumba yang meraih emas acara ini pada Sukan SEA 2017 serta turut bertanding di Sukan Asia,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, Wan Abdul Rahman meraih pingat emas acara kriterium serta pingat perak acara lebuh raya lepas berama-ramai.

Beliau berkata kejayaan hari ini juga menyuntik semangatnya untuk meraih pingat emas acara keirin esok.

– Bernama

Loading...

Leave a Reply