Portal berita terbaik anda

Jenayah

Pelajar tahfiz di Tanjong Karang parah, limpa hancur

KUALA SELANGOR – Seorang pelajar di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang didakwa cedera akibat dibelasah oleh lima hingga tujuh pelajar lain dipercayai senior.

Seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa abang kepada pelajar terbabit memuat naik status mengenai kejadian itu di laman sosial dengan mendakwa kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian hati dan limpa.

“Doktor memberitahu kemungkinan organ limpa akan dibuang dan menyebabkan sistem imunisasi badan tidak berfungsi (mudah dijangkiti penyakit),” katanya.

Menurut lelaki itu lagi, adiknya yang dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior itu telah diangkat dan dihempas ke lantai.

“Pihak keluarga telah meminta rakaman CCTV (rakaman kamera kitar tertutup) tetapi pihak tahfiz mengatakan CCTV di pusat tahfiz itu rosak,” dakwanya.

Menurutnya, dia difahamkan terdapat tiga lagi rakan adiknya turut menjadi mangsa buli.

“Cuma kecederaan pada adik sangat teruk sehingga ditahan wad. Laporan polis telah dibuat dan mohon bantuan rakan-rakan supaya mendoakan adik saya sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di sekolah tahfiz berkenaan mendapati tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah hadir dan berjumpa dengan pihak pengurusan tahfiz tersebut.

Selain itu, pihak ibu bapa juga difahamkan mula dipanggil pihak pentadbiran berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan mengesahkan kejadian tersebut.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Loading...

Leave a Reply