Pelajar kolej maut rempuh lori berhenti tepi jalan

SEBERANG PERAI – Seorang pelajar kolej vokasional maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 138, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Perai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Akmal Hazim Shahidan, 19, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum terlanggar bahagian kiri belakang lori yang dipercayai berhenti akibat masalah brek.

“Mangsa terjatuh ke lorong kedua dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala motosikalnya pula terseret ke lorong yang ketiga.

“Pemandu lori berusia 34 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi urusan bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. K! ONLINE

Loading...

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *