Portal berita terbaik anda

Ekonomi

Pelabur asing jual RM1.05 bilion saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM1.05 bilion daripada saham tempatan di Bursa Malaysia minggu lalu, berbanding aliran masuk bersih RM69 juta minggu sebelumnya, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

Dalam laporan aliran dana mingguannya, Penganalisis MIDF Research, Adam M Rahim, berkata ia aliran keluar bersih asing mingguan terbesar dalam 16 minggu.

Bagaimanapun, katanya Malaysia menyaksikan paras penjualan dana asing kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dipantau olehnya minggu lalu.

“Pelabur antarabangsa muncul penjual bersih pada setiap hari minggu lalu. Penjualan bersih dana asing pada Isnin berjumlah RM227.2 juta tidak mengejutkan kerana pelabur memberikan reaksi kepada pengumuman penamatan kontrak kerja bawah tanah MMC-Gamuda bagi MRT2 hari sebelumnya.

“Paras penjualan bersih dana asing kemudiannya berkurangan kepada di bawah RM200 juta pada dua hari berikutnya, disokong oleh harapan bahawa proses tender semula antarabangsa kerja bawah tanah MRT2 akan disemak semula oleh kerajaan,” katanya.

Namun, Adam berkata Khamis menyaksikan pasaran huru hara apabila pelabur antarabangsa menjual bersih RM327.9 juta saham tempatan, tertinggi dalam tempoh sebulan selepas Wall Street mengalami kerugian terbesar dalam tempoh lapan bulan apabila syarikat teknologi kekal tertekan ditambah pula kebimbangan kenaikan kadar faedah.

Beliau berkata, penjualan bersih dana asing berkurangan hampir separuh kepada RM173.8 juta pada Jumaat, sejajar dengan pantulan semula bursa tempatan sebanyak 1.3 peratus susulan berita bahawa Presiden Donald Trump akan bertemu Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20.

Adam berkata, aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia setakat Jumaat lalu secara keseluruhannya berjumlah RM9.7 bilion, mengimbangi lebih daripada 90 peratus aliran masuk bersih RM10.3 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Adam berkata Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan aliran keluar bersih dana asing kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dipantaunya.

Katanya, penyertaan pelabur asing, dana institusi tempatan dan pelabur dalam pasaran runcit adalah tinggi minggu lalu, dengan nilai purata dagangan minggua adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.

Loading...

Leave a Reply