Portal berita terbaik anda

Utama

Pekerja MRT2 boleh dapat kerja semula lepas kontrak baru – Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihak yang terlibat dalam penggantungan sementara projek bawah tanah MRT2 boleh diambil bekerja semula selepas kontrak baru projek itu diselesaikan.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Lim juga menjelaskan bahawa kerja-kerja bawah tanah projek itu akan diteruskan seperti dirancang, maka pekerja dalam sektor itu tidak terjejas.

“Jika projek itu diteruskan nanti, ramai pekerja boleh diambil bekerja semula selepas kontrak itu dianugerahkan [….] projek itu diteruskan, dengan harapan pada harga yang lebih murah. Gamuda Bhd atau syarikat lain boleh saja jadi pihak yang menang bidaan.

“Mereka (Gamuda) juga perlu mendapat peluang yang sama [….] perlu diingat, kerja atas tanah masih diteruskan, jadi anda tidak boleh kata semua orang akan terjejas. Mereka masih diperlukan untuk menyiapkan kerja di atas tanah,” kata Lim.

Semalam, Gamuda mengeluarkan kenyataan media mendakwa bahawa pembatalan kerja-kerja bawah tanah projek MRT2 akan menyebabkan 20,000 pekerja terjejas.

Kerajaan sebelum ini merundingkan semula projek MRT2 dengan pihak pelaksana projek MMC-Gamuda. Kontrak berkenaan dianugerahkan ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Di bawah perjanjian baru, kos kerja-kerja bawah tanah projek itu akan kurang RM5.22 bilion, iaitu penjimatan sebanyak 23 peratus.

Bagaimanapun, MMC-Gamuda dan Putrajaya gagal mencapai kata sepakan berhubung kerja-kerja bawah tanah projek itu yang kini berada pada tahan 40 peratus siap.

Menurut Gamuda, kerja-kerja yang belum disiapkan bernilai RM9.6 bilion dan MMC-Gamuda telah menawarkan untuk menurunkan harga sehingga 24 peratus namun tidak diterima kerajaan persekutuan.

Ditanya jika kerajaan persekutuan masih terbuka untuk merundingkan semula projek itu dengan MMC-Gamuda, Lim berkata sesiapa saja boleh menyatakan pendapat sehingga proses tender baru dibuka.

“Mereka ada buat tawaran. Tapi kami dapati tawaran itu tidak cukup. Perkara ini bukan hanya untuk kerajaan, tapi juga negara. Ia adalah tender antarabangsa,” kata Lim.

Ditanya sama ada projek itu akan disiapkan seperti dijadualkan, Lim menggesa pemberita menunggu pengumuman rasmi.

Pada 2015, Putrajaya memperuntukkan RM23 bilion untuk projek itu. Kos keseluruhan, sebelum dirundingkan semula, adalah RM56.93 bilion.

Loading...

Leave a Reply