Portal berita terbaik anda

Jenayah

Pegawai kanan polis didakwa cabul, laku persetubuhan luar tabii terhadap dua wanita

KANGAR – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan memaksa seks oral dalam dua kejadian berasingan, pada tahun lalu.

Tertuduh, Ghazani Ab. Ghani, 49, hanya mengangguk faham dan mohon dibicarakan terhadap empat pertuduhan membabitkan dua mangsa yang juga pegawai bawahannya dan kakitangan pengurusan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dekat sini.

Keempat-empat pertuduhan terhadap bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Dalam pertuduhan pertama, Ghazani didakwa melakukan seks oral dengan seorang pegawai berpangkat Inspektor yang berusia 29 tahun di dalam sebuah kereta jenis Ford berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau dekat sini, antara pukul 12.10 tengah malam hingga pukul 1 pagi, pada 31 Oktober tahun lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan mangsa di lokasi, waktu serta tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Ghazani didakwa telah melakukan seks oral dengan seorang kakitangan pengurusan berusia 36 tahun di dalam sebuah kereta Perodua Axia berhampiran MRSM Arau, dekat sini, antara pukul 10 malam hingga pukul 11.30 malam, pada 3 Julai, tahun lalu.

Dalam pertuduhan akhir pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan mangsa di lokasi, waktu serta tarikh yang sama dalam pertuduhan ketiga.

Bagi pertuduhan melakukan seks oral, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Manakala untuk pertuduhan mencabul, Ghazani yang kini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun serta boleh didenda dan disebat atau dengan salah satu hukuman itu.

Pendakwaan terhadap kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani dan Mohd. Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili dua peguam bela iaitu M. Puveneswaran dan K. Kumaran.

Ibrahim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak menganggu mangsa. Mahkamah menetapkan tarikh 29 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Ghazani yang memakai kemeja berwarna putih berjaya mengelak gambarnya dirakam dengan menggunakan seorang individu yang memakai topeng penutup muka dan keluar bersama peguamnya melalui pintu depan, manakala dia keluar mengikut pintu belakang setelah selesai membayar wang jaminan. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply