Portal berita terbaik anda

Jenayah

Pegawai daerah direman kes tuntutan palsu RM500,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai daerah di negeri ini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Saad bermula hari ini hingga Sabtu.

Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu sekitar Mei tahun lalu.

Penahanan suspek berusia 59 tahun berkenaan dipercayai rentetan tangkapan terhadap seorang Pengerusi Majlis Belia sebuah daerah yang direman selama tujuh hari bermula 9 Januari lalu.

Suspek yang bertanggungjawab sebagai pegawai pengawal diamanahkan untuk menguruskan wang peruntukkan bantuan am sebanyak RM500,000 mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dipercayai mengeluarkan wang berkenaan dalam bentuk cek.

Cek yang bernilai RM300,000 dan RM200,000 itu dikatakan dibuat dan diserahkan kepada Majlis Belia Daerah sebagai penerima walaupun tiada permohonan dilakukan untuk perbelanjaan 32 program sekitar daerah terbabit namun difahamkan ia tidak dilaksanakan.

Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Suspek ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira jam 5 petang semalam.

Loading...

Leave a Reply