Portal berita terbaik anda

Sukan

MB ‘mengamuk’, janji siasat kes pemain Terengganu jual tiket Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU- Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menyiasat dakwaan tentang ada pemain bola sepak Terengganu Football Club (TFC) II yang dikatakan menjual tiket Piala Malaysia 2018, sehingga mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak.

Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat tentang perkara itu, namun akan menyiasat akan kebenarannya.

“Saya tidak dapat maklumat lagi tentang ini. Saya kena dapatkan laporan daripada persatuan dahulu,” katanya ketika ditanya tentang dakwaan itu dan tindakan yang mungkin akan diambil.

Dakwaan itu tular sejak awal pagi tadi, setelah pemain itu memuat naik gambarnya bersama tiket yang diperoleh di media sosial dan dikatakan menjualnya pada harga yang tinggi, sehingga mengundang kemarahan ramai netizen memandangkan jualan tiket hanya dibuka pada jam 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, ada pihak lain menyatakan pemain bola sepak itu hanya sekadar melakukan gurauan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Ahmad Samsuri mengakui ada beberapa kelemahan yang berlaku dalam penjualan tiket kali ini.

“Tiket yang dijual hari ini agak terhad, hanya 2,000 sahaja jadi kita memang tak nafikan memang berlaku kejadian rebut-merebut dan tidak selesa di kalangan penyokong yang hendak membeli tiket hari ini tapi kita cuba sebaik mungkin.

“Berhubung penjualan tiket, sebenarnya sebahagian daripada 28,000 tiket lagi diuruskan oleh persatuan melalui Unit Jualan Tiket sedia ada dan diagihkan kepada lapan persatuan di peringkat daerah. Ia bukannya dijual oleh Exco atau di pejabat Exco seperti mana yang ditularkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, akan melihat balik kaedah agihan tiket pada masa akan datang dan akan cuba memperbaikinya.

“Saya dimaklumkan sebelum ini, penjualan tiket tidak pernah diberi kepada persatuan. Pembahagian agihan telah dibincangkan kepada persatuan-persatuan bola di peringkat daerah sejak beberapa hari lalu, cuma saya tidak pasti bagaimana cara atau kaedah penjualan itu dilakukan.

“Mungkin penjualan tiket ini tidak dilakukan secara langsung kepada orang ramai di peringkat daerah seperti mana yang berlaku di Perak. Kerajaan negeri juga mengambil maklum rungutan orang ramai untuk mewujudkan satu kaunter khas bagi membolehkan peminat wanita membelinya dengan lebih selesa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply