Portal berita terbaik anda

Politik

PAS umum tanding PRK Port Dickson

MARANG: PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat sebentar tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua perkara termasuk meneliti dan mendengar laporan dan maklumat daripada Jawatankuasa Pilihan Raya.

Katanya, calon yang akan diumumkan malam esok adalah seorang tokoh yang sepadan dengan pencabarnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS bertanding kerana mahu menghidupkan demokrasi, PAS adalah parti yang mendukung demokrasi dan mahu rakyat ada hak untuk memilih walaupun tidak bersetuju dengan pilihan raya yang dilakukan secara tergesa-gesa.

“Sekurang-kurangnya PRK Port Dickson sebagai medan melatih petugas parti menghadapi pilihan raya.

“Tidak mudah untuk menang tetapi tidak mustahil boleh menang,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini, manakala penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

Setakat ini, dua parti dan orang perseorangan menyatakan hasrat untuk bertanding.

Anwar selaku calon Pakatan Harapan bakal dicabar calon daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas Stevie Chan Keng Leong.

Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Kumar yang sebelum ini mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas menarik diri hari ini.

Isnin lalu, Barisan Nasional (BN) sebulat suara memboikot PRK Parlimen Port Dickson dengan tidak meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata parti itu bukan saja tidak meletakkan calon, malah tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli untuk menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas.

Loading...

Leave a Reply