Portal berita terbaik anda

Politik

PAS umpama terpijak najis, kata exco DAP Johor

Tindakan PAS memberi pelbagai alasan untuk mengabsahkan sokongan mereka kepada calon MCA menunjukkan parti itu terperangkap dalam politik perkauman yang dimainkan mereka sendiri, kata exco DAP Johor.

Menurut Sheikh Umar Ali, amalan politik perkauman itu dicanang oleh PAS sendiri sebelum ini untuk membantu mereka menyerang PH.

Namun, kata Sheikh Umar, dengan perkembangan yang berlaku di Tanjung Puteri, PAS melatah sendiri dan seolah-olah ‘terpijak najis’.

“Ibarat heboh-heboh menuduh orang lain berbau busuk, tiba-tiba kaki PAS sendiri memijak tahi! Sekarang, gigihlah PAS mencari dalil untuk menyucikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS selalu mendakwa mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan tertentu untuk mengukuhkan kuasa politik Melayu.

Pemimpin tertinggi PAS juga menggesa orang Islam memberikan sokongan kepada calon Umno semasa PRK Cameron Highlands berdasarkan kepada faktor agama berbanding calon bukan Islam mewakili PH.

PAS juga baru-baru ini menandatangani piagam bagi memeterai kerjasama rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Tiada strategi kukuh

Bagaimanapun PAS dilihat terperangkap apabila BN mengumumkan pemimpin MCA – sebuah parti Cina – untuk mewakili pembangkang di Tanjung Piai.

Beberapa maklumat dan tangkap layar mengenai sikap penentangan Wee Jeck Seng – yang menjadi calon mereka – terhadap usaha PAS memperkenalkan undang-undang hudud kemudian tersebar sejak beberapa hari lalu.

Semalam Ketua Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh, menyatakan larangan mengundi calon bukan Islam seperti yang dinyatakan kepemimpinan parti itu sebelum ini bukan bersifat mutlak.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya, hari ini menggambarkan isu calon bukan Islam di Tanjung Piai seperti “membeli barangan Melayu-Islam yang dijual oleh jurujual Cina”.

Sheikh Umar berkata, tindakan pembangkang mengupas isu calon hanya dari konteks Melayu dan Cina menunjukkan mereka tiada strategi kukuh atau tawaran ampuh bagi mendepani PH.

Pada masa sama, Sheikh Umar yang juga exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor menjelaskan, PH tidak akan mengikut rentak pembangkang dengan memainkan isu kaum semasa berkempen.

“Wakil PH adalah calon untuk seluruh rakyat Tanjung Piai, tanpa mengira apa juga latar belakang mereka,” katanya.

Menurut Sheikh Umar, memenangkan calon PH bererti rakyat menyokong usaha mengukuhkan iltizam kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan negara, memulihkan ekonomi dan mengangkat semula maruah Malaysia di mata dunia setelah ia diruntuhkan oleh kepimpinan kleptokrat BN.

Loading...

Leave a Reply