Portal berita terbaik anda

Utama

PAS siasat kes murid Pasti diberhenti kerana bapa kritik parti

PAS akan menyiasat dakwaan berhubung pemberhentian seorang murid prasekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Selangor ekoran bapanya didakwa mengecam pimpinan parti itu.

Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS, Mukhtar Suhaili berkata, beliau maklum mengenai surat berkenaan dan sudah mengarahkan Pasti Selangor melakukan siasatan.

“Perkara ini dalam siasatan kerana kita mahu dengar daripada kedua-dua belah pihak.

“Pada ketika ini kita hanya dengar daripada satu pihak sahaja. Kita tengah buat siasatan dan saya sudah arahkan Pasti Selangor dapatkan maklumat lanjut.

“Buat masa ini terlalu awal untuk saya ulas lebih lanjut. Saya akan akan maklumkan situasinya apabila siasatan sudah selesai,” lapor portal berita FMT, hari ini.

Mukhtar berkata, Pasti ini adalah pra-sekolah milik PAS, tetapi ia terbuka untuk semua.

Pasti adalah pusat pendidikan prasekolah yang dikendalikan Pemuda PAS Pusat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata secara prinsipnya pusat asuhan berkenaan menerima pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar bukan Islam.

“Kita secara prinsipnya tidak menolak pelajar kerana faktor kritik parti, ia tidak timbul. Dalam Pasti sekarang ini, terdapat pelbagai latar belakang dan kita juga terima pelajar bukan Muslim.

“Saya yakin fakta itu tidak betul, mungkin ada sebab lain,” katanya ketika ditemui portal itu di parlimen semalam.

Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat membabitkan Pasti An Najah yang beroperasi di Tanjung Karang, Selangor kerana bertindak memberhentikan pelajarnya berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi surat bertarikh 13 Oktober yang ditandatangani Ketua Guru Pasti An Najah Jamiah Mustamar menyatakan, pihaknya kesal dengan tindakan seorang bapa pelajar mengecam PAS, ulama PAS dan pengurusan Pasti.

“Dukacita dimaklumkan bahawa kami pengurusan Pasti An Najah mengambil keputusan muktamad untuk memberhentikan anak tuan dari Pasti An Najah dengan serta-merta.

“Pihak kami amat kesal atas kecaman demi kecaman tuan lakukan ke atas parti PAS, ulama dan pengurusan Pasti kami sendiri,” katanya seperti dinyatakan dalam surat berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Pasti Kawasan Tanjung Karang, Hafizuddin Amin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut isu berkenaan.

Loading...

Leave a Reply