Portal berita terbaik anda

Politik

PAS pelampung selamatkan UMNO dari kemungkaran

KUALA TERENGGANU – Pas bukan sebuah parti yang menjadi ‘pelampung’ kepada sebarang kemungkaran tetapi untuk bersama menyelamatkan umat Islam, termasuk UMNO daripada kemungkaran Allah SWT.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai reaksi terhadap kebimbangan yang disuarakan para perwakilan sepanjang Muktamar Tahunan Pas Ke-64 terhadap bibit-bibit mesra dan jalinan kerjasama parti itu dengan UMNO.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas sebagai sebuah parti bertunjangkan Islam mempunyai niat baik, iaitu mahu mengajak seluruh umat Islam termasuk UMNO kepada keselamatan serta kesejahteraan dunia dan akhirat.

“Kita kaum yang Allah SWT muliakan dengan Islam. Bangsa, negara, ummah dan rakyat kita mendapat rahmat dengan Islam jika kita mengajak semua pihak memilih jalan ditinggalkan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup, Gong Badak, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim dalam pada itu menyangkal dakwaan pemimpin MCA yang melabel Pas sebagai sebuah parti ekstremis atau pelampau.

“Saya merujuk kepada artikel (kenyataan) dikeluarkan mengenai MCA menyebut kalau UMNO bersama Pas maka terbubarlah BN (Barisan Nasional) kerana mereka melihat Pas ini satu parti ekstremis atau pelampau.

“Saya nak jelaskan Pas berada selama 67 tahun dalam politik Malaysia, kita sebuah parti berdaftar, kita mengikut semua peraturan yang ada. Mereka boleh melihat apa berlaku di Kelantan dan Terengganu bagaimana Pas sebenarnya bukan pelampau.

“Saya melihat kebimbangan mereka sebenarnya hanya satu sebab iaitu kerana kita memperkatakan tentang Islam dan dalam al-Quran sendiri ada diceritakan situasi sama (kebimbangan terhadap Islam),” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita kes Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) oleh Mahkamah Syariah Terengganu baru-baru ini mempunyai hikmah tersendiri biarpun dikritik dan ditentang pelbagai pihak.

“Kejadian itu berjaya membuka mata dan ruang untuk pihak yang tidak faham, mula mengkaji hukum Allah SWT yang kemudiannya terbukti meleset daripada sangkaan sebenar mereka selama ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply