Portal berita terbaik anda

Utama

PAS mahu kerajaan haramkan DAP

PAS hari ini menyarankan agar kerajaan mengharamkan DAP berdasarkan beberapa “bukti” yang dipetik timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini anggota parlimen Kubang Kerian berkata ada asas untuk meyakini bahawa DAP semakin membahayakan politik negara.

“Malah, tindakan parti tersebut bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Maka dengan ini wajarlah DAP diharamkan,” katanya.

Menjelaskan alasan gesaan itu Tuan Ibrahim menyenaraikan tiga bukti dan kontroversi membabitkan DAP sebagai hujahnya.

Pertama beliau memetik ucapan dibuat Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, semasa forum Naratif Malaysia Baru di Kota Damansara, pada 14 Sept lalu.

Kata Tuan Ibrahim, sebelum ini beliau sudah mendesak polis menyiasat ucapan Sim yang berbunyi: “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakebale confidence” (Kerajaan Tuhan adalah misi yang tidak dapat dihalang, dan alasannya adalah ini: Tuhan sendiri akan bertindak untuknya, dan itulah keyakinan kita yang kukuh).

Kedua, katanya, beberapa pemimpin DAP bertaraf wakil rakyat ditangkap kerana disyaki terbabit dengan kegiatan menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disenarai sebagai pertubuhan pengganas oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Ketua Polis Negara juga mengakui penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan LTTE adalah berdasarkan bukti kukuh dan hasil risikan Polis Diraja Malaysia.

“Hal ini menunjukkan bahawa penangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan LTTE bukan satu tindakan politik tapi demi kepentingan negara,” katanya lagi.

Alasan ketiga diberikan Tuan Ibrahim ialah berkaitan komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) dihasilkan bekas anggota DAP, Hew Kuan Yau.

Buku itu kini diharamkan kerajaan melalui perintah dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelmarin.

“KDN mengesahkan komik berkenaan mempromosi ideologi komunisme, sosialisme, menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan juga mempertikaikan perjuangan tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Loading...

Leave a Reply