Pas dakwa Anwar guna jentera kerajaan untuk berkempen

KUALA LUMPUR – Pas membidas tindakan calon PH dalam PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memanipulasi majlis dan jentera kerajaan untuk berkempen.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Anwar bukan saja hadir di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Muzium Tentera, Port Dickson semalam, malah menaiki kenderaan rasmi menteri.

Katanya, ia bertentangan dengan kenyataan Anwar sebelum ini yang berjanji kempennya tidak akan menggunakan aset dan jentera kerajaan.

“Jadi, apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini secara jelas membohongi dan mengkhianati apa yang telah diucapkan oleh beliau sendiri?

“Saya tidak fikir bahawa ini adalah calon yang sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri. Cakap tidak serupa bikin. Tidak hairan sekiranya calon ini menang, reformasi institusi yang sering dilaungkan akan dibakul sampahkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrudin turut mempersoalkan pengumuman peruntukan segera berjumlah RM 500,000 untuk membaiki kuarters tentera di Port Dickson oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Semalam, Menteri Pertahanan juga menghadiri dan menyampaikan penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Port Dickson.

“Ternyata PH bukan sebuah parti politik yang komited dengan agenda reformasi, sebaliknya mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara demi mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Loading...

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *