Portal berita terbaik anda

Utama

Papagomo ditahan susulan insiden serangan terhadap Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, ditahan di rumahnya di Danau Kota, Setapak, di sini, sekitar jam 3 petang tadi, selepas dipercayai terbabit dalam insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Kajang, semalam.

Dia ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan Syed Saddiq, yang menyatakan lehernya dicekak oleh Papagomo dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Way, semalam.

Sebaik ditahan, Papagomo yang sudahpun dihubungi dan diminta tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan semalam, kemudian dibawa ke IPD Kajang, untuk membolehkan rakaman percakapan dilakukan.

Pada masa ini pengesahan mengenai butiran lanjut penahanannya sama ada dia akan dibebaskan atau terus ditahan sedang diperolehi dari Ketua Polis Daerah Kajang.

Pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, memberitahu bahawa Papagomo adalah antara dua individu yang sudah dipanggil bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes serangan ke atas Syed Saddiq.

Bagaimanapun seorang lagi individu yang dipercayai adalah Ketua Pemuda sebuah parti politik, dilaporkan sudah tampil memberikan keterangan kepada pihak polis semalam.

Siasatan oleh Polis Daerah Kajang dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kajang mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh, selepas Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong parti politik.

Loading...

Leave a Reply