Portal berita terbaik anda

Politik

PAN bukan khadam DAP – Khalid

PUTRAJAYA – Parti Amanah Negara (PAN) bukan khadam atau pembela DAP dan tidak pernah ditaja oleh mana-mana individu dari DAP.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, berkata dakwaan yang sama dilemparkan terhadap PAS ketika dalam Pakatan Rakyat tetapi kini PAS menggunakan hujah yang sama untuk menyerang PAN.

“Maknanya mereka tiada idea untuk berhujah dan menciplak idea lama untuk menyerang bekas pemimpin PAS yang kini menyertai PAN.

“Saya ingin tegaskan PAN tidak ditaja DAP, bukan pembela atau khadam DAP, tetapi meneruskan dasar perjuangan berasas Islam dan memahami Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin yang lebih inklusif untuk berbilang kaum.

“PAN diwujudkan oleh sebahagian besar bekas pemimpin PAS yang membantah kecenderungan PAS yang mahu keluar dari Pakatan Rakyat dan mula berdamai dengan UMNO pada 2013,” katanya dalam dialog dengan petugas media di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Komunikasi PAN, Ahmad Sabki Yusof; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan UMNO-PAS memeterai perjanjian kerjasama politik dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, Khalid berkata, perjanjian itu seperti PAS baru mendapat ‘sijil nikah’ selepas lama menjalin hubungan sulit dengan UMNO.

Katanya, pendirian PAS ketika ini tidak sama seperti ketika kepemimpinan Allahyarham Fadzil Noor dan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) PAS ‘bersekedudukan’ dengan parti perkauman Melayu. Mungkin hari ini tandatangan dapat ‘sijil nikahnya’.

“Walhal jika PAS bergabung dengan PAN kita mungkin memperolehi 46 kerusi, malah PAN kini menerima 25,000 ahli dari Kelantan, kebanyakannya keluar dari PAS,” katanya jumlah keseluruhan ahli PAN kini sudah mencecah 100,000 orang.

Sementara itu, Sabki berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran kekurangan jentera dalam menyebarkan maklumat pada peringkat kerajaan dan parti komponen.

Katanya, kebanyakan petugas komunikasi PH mula bekerja dengan agensi kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) hingga tugas penyebaran maklumat parti hampir lumpuh.

“Kita berharap jentera kerajaan bantu menjalankan agenda komunikasi dan penerangan bagi pihak kerajaan. Malangnya ia tidak dapat digerakkan dengan berkesan walaupun setahun sudah berlalu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan turut berdepan cabaran dalam menangani soal sentimen agama dan kaum yang menjadi laungan parti pembangkang.

“Sejak awal lagi, kerajaan sudah diasak dengan naratif Melayu dan Islam yang dimainkan oleh pembangkang dikuasai dua parti besar kaum Melayu di negara ini.

“Malah, pembangkang turut mempersoalkan pelantikan Menteri Kewangan dan Peguam Negara yang bukan Melayu.

“Isu perkauman dan agama menjadi suatu isu yang ampuh untuk pembangkang menyerang kerajaan kerana mereka mewakili kelompok pengundi Melayu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply