Pakar jangka varian Delta mungkin lambatkan imuniti kelompok

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin memerlukan masa lebih lama untuk mencapai imuniti kelompok berikutan kemunculan varian Delta yang kini makin membimbangkan.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata virus itu turut menyebabkan individu yang sudah mendapat suntikan vaksin, dijangkiti varian itu walaupun pada tahap 1 atau 2.

Katanya, ia seterusnya menyebabkan antibodi seseorang itu menurun dan menyukarkan untuk mencapai imuniti kelompok.

“Kemungkin sasaran peratusan imuniti kelompok selepas ini perlu dipertingkatkan lagi supaya apabila lebih ramai sudah mendapat vaksin, risiko dijangkiti varian itu akan berkurang.

“Sasaran ketika ini adalah 80 peratus populasi negara divaksin dan termasuk kanak-kanak, namun ketika ini yang mendapatkan suntikan vaksin hanya dewasa. Ketika ini kita tahu kanak-kanak turut dijangkiti COVID-19,” katanya kepada BH.

Semalam dilaporkan, kajian baharu mengenai varian Delta mendapati varian dominan berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin, sama seperti individu yang tidak divaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati varian Delta membiak dalam hidung orang yang sudah divaksinasi, seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

Mengulas lanjut, Prof Dr Zamberi berkata, peningkatkan kes COVID-19 ketika ini menunjukkan jangkitan virus itu dalam kalangan masyarakat semakin membimbangkan.

Namun, katanya, apa yang lebih penting dalam keadaan sekarang adalah memastikan golongan berisiko seperti warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kritikal tidak dijangkiti.

Beliau menegaskan, golongan terbabit termasuk mereka yang masih belum menerima suntikan vaksin berisiko tinggi dijangkiti varian Delta sehingga tahap 3, 4 atau 5.

“Justeru penting untuk masyarakat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk terus memakai pelitup muka walaupun sudah lengkap dua dos vaksin.

“Amerika Syarikat dan United Kingdom melonggarkan SOP dengan tidak mewajibkan pelitup muka bagi mereka sudah lengkap dua dos vaksin, sekali gus menyebabkan varian Delta yang mudah menular dengan cepat, terus merebak lebih meluas di sana,” katanya.

Katanya, apa yang turut menjadi kebimbingan ketika ini adalah varian itu sukar dikesan jika seseorang menjadi pembawa kerana tiada gejala.

“Ketika ini varian Delta boleh dikatakan semakin banyak termasuk di Malaysia kerana ia sudah menjadi varian dominan di seluruh dunia,” katanya.

Dr Zamberi berkata, usaha untuk mengurangkan penularan varian itu boleh dilaksanakan, namun dalam keadaan kelonggaran SOP ketika ini, ia berdepan kesukaran.

Justeru katanya, masyarakat perlu bijak menilai risiko termasuk mengelak makan di kedai atau berada di tempat sesak yang boleh meningkatkan risiko dijangkiti varian itu.

“Bagi mereka yang perlu bekerja dan berada di pejabat dengan rakan sepejabat lain, pastikan sentiasa memakai penutup muka kerana jangkitan di tempat kerja amat tinggi,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *