Portal berita terbaik anda

Politik

Pakai baju logo PH, Manogaran diarah keluar pusat undi

CAMERON HIGHLANDS – Tindakan telah diambil terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan meminta beliau keluar daripada pusat mengundi setelah didapati memakai pakaian yang mempunyai logo parti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, adalah menjadi kesalahan apabila terdapat mana-mana pihak termasuk calon membawa bahan kempen termasuk lambang parti di tempat mengundi mahupun dalam jarak 50 meter dari lokasi mengundi.

“Saya telah diberitahu perkara itu (tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti) sebentar tadi dan saya rasa pihak pemantau pilihan raya perlu menegur beliau.

“Bagaimanapun, tindakan telah diambil dengan meminta beliau keluar daripada kawasan tempat mengundi kerana dalam kawasan tersebut dan 50 meter darinya, tiada sesiapa pun dibenarkan membawa bahan kempen dan logo parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) Ringlet di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui laman Facebooknya pagi tadi telah memuat naik dua keping gambar Manogaran yang dilihat memakai baju mempunyai logo Pakatan Harapan di dalam pusat menggundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, perbuatan Manogaran itu jelas bertentangan dengan peraturan SPR.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung yang pada nya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Mengikut akta tersebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen boleh apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen ialah kesalahan boleh ditangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply