Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Orang ramai bersesak untuk makanan percuma

TUMPAT – Tindakan pemilik sebuah kedai kosmetik di Bandar Baharu Tumpat menawarkan bantuan makanan telah menyebabkan masyarakat di daerah itu bersesak-sesak untuk mendapatkan bantuan tersebut, sekali gus melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 1.20 tengah hari tadi dan bergegas ke lokasi bagi menyuraikan orang ramai.

Menurutnya, seramai 20 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertindak ke lokasi kejadian dan mendapati kira-kira 120 individu sedang berkumpul untuk mendapatkan makanan percuma.

“Kami segera meminta orang ramai bersurai kerana hari ini baru memasuki tempoh seminggu iaitu hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 yang masih berjalan.

“Mereka yang bersesak mematuhi arahan bersurai dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya sejam kemudian.

“Kawalan polis diteruskan bagi mengelakkan orang ramai terus datang dan berkumpul ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan makanan percuma,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pemilik kedai kosmetik iaitu pasangan suami isteri berusia 20-an telah dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“Mereka mengiklankan perkara tersebut di media sosial dan tular menyebabkan orang ramai bersesak di hadapan premis perniagaan itu.

“Mereka turut diberi teguran kerana tindakan itu menyebabkan orang ramai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan sepatutnya bantuan hendaklah disalurkan melalui cara yang betul atau hubungi Pusat Kawalan Pergerakan daerah bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pasangan tersebut berniat baik untuk membantu masyarakat ketika saat getir, namun perlulah mematuhi arahan kerajaan supaya duduk di rumah.


“Saya nasihatkan kepada seluruh rakyat supaya mematuhi perintah ini dan prosedur operasi standard (SOP) kerana negara dan kerajaan Malaysia sedaya upaya berusaha memutuskan rangkaian Covid-19 dalam kalangan rakyat.

“Selepas diberi nasihat dan sekiranya perintah ini tidak dipatuhi adalah satu kesalahan jenayah, maka tindakan tegas akan diambil mengikut Akta 342, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya.

Tambahnya, semua rakyat perlu mematuhi perintah yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini atau individu ingkar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Loading...

1 Comment

  1. Muhammad sharif pono

    Road block jgn bagi keluar
    Kalau dah terpaksa buat sistem bernombor berdiri dlm jarak yg selamat kaunter agihan juga perlu banyak supaya tak bersesak

Leave a Reply

Theme by Anders Norén