Portal berita terbaik anda

Utama

Nurul Syafiqah meninggal selepas sebulan pemergian ibu

KOTA BHARU – Remaja perempuan yang menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala, Siti Nurul Syafiqah Hassan, meninggal dunia tengah malam tadi.

Siti Nurul Syafiqah, 13, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya pada jam 12.27 tengah malam tadi.

Lebih memilukan, kematian Siti Nurul Syafiqah selepas 32 hari arwah ibunya, Rosnani Mohamad, 41, meninggal dunia pada 26 Oktober lalu akibat sesak nafas.

Kakak sulung arwah, Zubaidah Hassan, 45, berkata sejak dua hari lalu Syafiqah tidak berupaya makan dan minum kerana mengalami ulser serta batuk.

“Malam tadi keadaannya semakin tenat. Semua ahli keluarga terdekat termasuk saudara mara, berada di sisi sehingga dia menghembus nafas terakhir.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah kerana tidak sanggup melihat dia terus menderita menanggung kesakitan terutamanya setiap kali diserang sawan,” kata ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zubaidah berkata, jenazah Siti Nurul Syafiqah akan dikebumikan pada jam 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kampung Pangkal Kerdas bersebelahan dengan pusara arwah ibunya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Nurul Syafiqah disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala sejak berusia tujuh bulan.

Disebabkan penyakit itu, Syafiqah terlantar dan tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.

Sebelum ini, Rosnani menjaga Syafiqah bersama suami keduanya, Osman Kasim, 62, sejak empat tahun lalu selepas kematian suami pertama pada 2012 disebabkan penyakit paru-paru berair.

Loading...

Leave a Reply