Portal berita terbaik anda

Viral

Nooraziro sudah jatuh cinta, bakal bernikah tidak lama lagi

“KALI pertama saya melihat dan mendengar tutur katanya yang lemah lembut, hati saya terus terpaut. Insya Allah jika ada jodoh kami akan berkahwin,” kata Nooraziro Abdullah, 35, dari Kampung Gong Nangka, Marang, Terengganu.

Wanita itu antara calon suri hati Nooraziro yang kisahnya menggantung poster ‘mengiklankan diri’ mencari isteri tular di media sosial, awal bulan ini.

Tukang rumah itu berkata, dia kini dalam proses mengenali wanita berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kerani di Kuala Terengganu, dan mengakui masing-masing saling tertarik antara satu sama lain.

“Dia wanita pertama yang saya jumpa selepas poster saya tular. Saya tidak sangka terus tertarik dengan wanita itu saat pertama kali bertemunya.

“Saya nampak keikhlasannya sejak dia menghantar aplikasi WhatsApp untuk berkenalan dengan saya pada 18 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Enggan mendedahkan nama wanita itu, Nooraziro berkata, selepas beberapa hari berhubung, mereka mengambil keputusan berjumpa di sebuah restoran di Kuala Terengganu pada 21 Januari lalu.

“Lebih sejam kami berbual selain bercerita mengenai diri masing-masing, melalui sikap serta tutur katanya, saya yakin dia seorang wanita yang sesuai dijadikan isteri.

“Jika diikutkan hati, saya ingin berkahwin secepat mungkin tetapi perlu menghormati dan memahami kehendak wanita itu yang memerlukan masa untuk mengenali hati budi saya,” katanya.

Katanya, jika wanita berkulit sawo matang itu bersedia, mereka akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sehingga kini dia masih menerima lebih 500 aplikasi WhatsApp dan panggilan daripada wanita untuk berkenalan dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak selain Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, dia memberi tumpuan kepada wanita yang baru dikenalinya dan tidak ingin memulakan perkenalan dengan wanita lain.

Sementara itu adiknya, Noorazira Abdullah, 34, berkata, dia berharap pengenalan abangnya dengan wanita itu berterusan hingga ke jenjang pelamin.

“Saya berharap abang bertemu jodoh kerana sudah lama dia menunggu kehadiran wanita yang boleh menerimanya seadanya.

“Sekurang-kurangnya akan berasa lebih gembira jika ada teman, maklumlah semua empat adik perempuannya sudah berumah tangga dan mempunyai kehidupan masing-masing,” katanya.

Katanya, dia juga sudah menemui dan mengenali wanita itu dan senang dengan sikapnya yang ikhlas ingin berkawan dengan Nooraziro.

Loading...

Leave a Reply