Portal berita terbaik anda

Utama

NGO gesa kerajaan baharu siasat semula kes Adib dan kes berprofil tinggi yang digugurkan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut kerajaan baharu menyiasat semula kes berprofil tinggi yang telah digugurkan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, ia termasuk kes bekas anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kes himpunan komunis, komik propaganda komunis dan kes rogol melibatkan seorang wakil rakyat.

Menurutnya, Pembela meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan baharu agar dapat melaksanakan keadilan sepenuhnya dalam urusan pentadbiran negara.

“Kami bersyukur apabila kemelut politik tanah air berakhir dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Mentari kelapan sekaligus menamatkan debaran rakyat.

“Selepas persidangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tempoh hari, politik negara berada di ambang ketidakstabilan yang bukan hanya membimbangkan rakyat Malaysia menjadi perhatian seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Aminuddin berkata, pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu harus diterima semua pihak sebagai menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pembela ingin mengingatkan kepada individu, kumpulan atau mana-mana parti politik agar tidak sesekali bertindak melampau sehingga berani menderhaka kepada titah Seri Paduka Baginda yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.

“Kami menyokong penuh sebarang tindakan polis untuk menyekat, menghalang dan menahan mereka yang derhaka. Perbuatan ini amat jelas bertentangan dengan Rukun Negara: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya.

Loading...

Leave a Reply