Portal berita terbaik anda

Utama

NFDP lebih penting daripada siaran percuma EPL – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan lebih mengutamakan pemerkasaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berbanding siaran percuma bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata berdasarkan maklum balas daripada generasi muda, sebahagian besar mereka mahukan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi ditingkatkan, berbanding desakan siaran percuma EPL.

“Siaran percuma EPL bukan keutamaan kami,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq menjawab soalan tambahan dikemukakan Shahidan yang mahu mendapat penjelasan mengenai janji Pakatan Harapan (PH) untuk menyiarkan siaran langsung EPL di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau menegaskan kerajaan memberikan peruntukan jauh lebih tinggi untuk NFDP iaitu daripada RM15 juta kepada RM45 juta.

Katanya, ia membuktikan kesungguhan kerajaan mengembalikan status negara sebagai kuasa bola sepak Asia sehingga pernah beraksi di Sukan Olimpik pada era 1970-an dan 1980-an.

“Selain itu, buat pertama kali kementerian memberikan peruntukan khas kepada golongan wanita supaya mereka dapat mewakili negara dalam pelbagai disiplin sukan,” katanya.

Menjawab soalan asal Yamani Hafeez Musa (PH-Sipitang), Syed Saddiq berkata, dalam membangunkan sukan luar bandar, kementerian akan memperhebatkan agihan infra sukan di kawasan berkenaan.

“Begitu juga kawasan separa bandar yang mempunyai belia berisiko paling tinggi dengan sistem ‘traffic light’ yang akan kita wujudkan,” katanya.

Hafeez Yamani mahukan kementerian menyatakan perancangan untuk kemudahan sukan di luar bandar seperti menentukan satu daerah satu kompleks sukan’ kerana belia adalah pelapis kepemimpinan masa depan.

Loading...

Leave a Reply