Portal berita terbaik anda

Utama

Nenek ‘merajuk’ mohon rumah tak dapat sejak 10 tahun lalu

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas ‘merajuk’ selepas permohonannya mendapatkan rumah mampu milik sejak 10 tahun lalu tidak pernah mendapat jawapan.

Kekecewaan itu diluahkan Fatimah Idris, 68, yang mendiami sebuah rumah papan usang hampir menyembah bumi di tebing Sungai Skudai, Kampung Usaha Jaya di sini, sejak 1985.

Rumah usang didiaminya itu juga ibarat menanti masa rebah kerana terlalu usang dan akan dinaiki air setiap kali air laut pasang besar.

Lebih memilukan, Fatimah kini tidak dapat berdiri dan bergerak selepas terjatuh di bilik air sejak lebih lima tahun lalu dan dijaga sepenuh masa anak bongsunya, Roslan Atil, 29.

“Saya rasa kecil hati. Orang lain mohon dapat, saya sudah lebih 10 tahun memohon, namun hingga hari ini belum menerima apa-apa jawapan.

“Saya nak meminta pun malu, tapi lihatlah sendiri keadaan rumah ini yang menanti masa untuk runtuh.

“Roslan yang menjadi harapan dan mahu membantu mengubah hidup kami pula diberhentikan kerja sejak Covid-19 menular tahun lalu dan kini melakukan pelbagai kerja kampung demi menyara kami dua beranak,” katanya ditemui hari ini.

Menurut Fatimah, anaknya yang lain juga susah dan sudah berkeluarga namun mereka sering membantu mengikut kemampuan.

Kata Fatimah, jiran juga ramai yang membantu sejak dulu dengan menyumbang barangan keperluan dan makanan.

Terdahulu, Fatimah menerima pelbagai sumbangan barangan keperluan dan makanan daripada Penolong Pengarah pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) Mohd Shafie Mustaffar yang melawatnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, Fatimah menerima bantuan bulanan zakat berjumlah RM300 sejak 2015.

“Mainj akan menaikkan bantuan itu kepada RM500 sebulan bagi menampung keperluannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perling Cheo Yee How yang turut menziarah Fatimah berkata, beliau akan membawa masalah warga emas itu ke pengetahuan kerajaan negeri.

“Saya sendiri akan ke pejabat Bahagian Perumahan, Setiausaha Kerajaan Negeri bagi melihat masalah berbangkit status permohonan rumah yang pernah dipohon Fatimah yang tidak pernah mendapat jawapan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply