Portal berita terbaik anda

Utama

Nelayan naikkan ikan kerapu gergasi, dijual RM4,900

DUNGUN – Seorang nelayan, Abdullah Abdul Hamid berjaya menaikkan seekor ikan kerapu gergasi seberat 140 kilogram dan menjualnya dengan harga RM4,900 di Pasar Dungun pagi tadi.

Lelaki berusia 51 tahun itu berkata, beliau bersama tiga lagi rakannya mengambil masa lebih setengah jam untuk menaikkan ikan tersebut ke atas bot dengan menggunakan mesin bot pukat tunda.

“Rasa sangat teruja dan gembira apabila kami dapat menaikkan ikan kerapu gergasi ini kerana ini adalah kali pertama kami menemuinya. Sebelum ini pernah mendaratkan ikan yu yang agak besar namun tidak seberat ini.

“Kami keluar menangkap ikan di lokasi biasa, iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Hasil jualan ikan kerapu gergasi ini akan kami bahagikan sama rata untuk empat orang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bapa kepada lapan orang anak itu berkata, penemuan ikan kerapu gergasi dianggap membawa tuah untuk dirinya dan beliau berhasrat mahu menyimpan sebahagian wang tersebut untuk kegunaan keluarga.

“Saya difahamkan ada seorang tauke Cina yang membeli ikan tersebut dengan harga RM35 untuk setiap satu kilogram,” katanya yang mengakui semakin bersemangat turun ke laut selepas ini.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkata, pendaratan ikan gergasi itu menarik perhatian ramai kerana ia jarang berlaku di Terengganu.

“Hanya nelayan yang ‘bertuah’ sahaja akan berjaya menemui ikan kerapu gergasi seperti ini dan penemuannya boleh diibaratkan seperti ‘durian runtuh’ kerana harganya yang mahal,” katanya. – Bernama

Loading...

Leave a Reply