Enam sekeluarga positif Covid-19, masuk hospital sama-sama tapi takdir menentukan tiga pulang ke negeri abadi

CUKUP hebat dugaan yang menimpa wanita ini apabila dia terpaksa berdepan dengan pemergian tiga insan tersayang dalam sekelip mata.

Berkongsi kisah kepada mStar, Nazirah Jasmani berkata, bapanya Jasmani Adnan meninggal dunia pada 27 Jun lalu, diikuti dengan dua adiknya Nur Najihah, 30, pada 1 Julai, dan Nur Haziqah, 25, pada 7 Julai 2021.

Wanita berusia 34 tahun ini berkata, kejadian seperti ini tidak pernah dibayangkan yang mana dia terpaksa berdepan dengan tiga kematian berturut-turut dalam masa yang singkat.

Mengimbas bagaimana keluarganya dijangkiti Covid-19, pada mulanya mereka yang tinggal serumah hanya mengalami demam biasa namun keadaan bertambah teruk selepas beberapa hari.

“Semua ahli keluarga saya dapat tahu positif Covid-19 bermula dengan demam. Kami ingatkan demam biasa, tapi makin lama rasa macam terus hilang deria rasa.

“Tujuh orang termasuk saya, ayah, ibu, dua adik, seorang anak saudara dan adik ipar, kami pergi klinik untuk buat swab test.

“Bila keputusan keluar, enam daripada kami positif. Hanya adik ipar (suami Najihah) sahaja yang negatif. Disebabkan ayah saya ada penyakit tiroid dan ketumbuhan dalam otak, ambulans datang ambil dia dulu,” katanya yang menetap di Muar, Johor.

Nazirah berkata keadaan dua adiknya yang dimasukkan ke hospital bagaimanapun semakin teruk dan dia cuba untuk mengumpul kekuatan apabila melihat ahli keluarganya bertarung nyawa melawan virus Covid 19.

“Masa kuarantin di hospital, saya dengan Najihah di bilik yang sama. Masa tu doktor ada kata, nak ‘tidurkan’ dia sebab tengok oksigen dan paru-paru dia dah teruk.

“Kalau ikutkan Haziqah paling lama ‘ditidurkan’ berbanding Najihah, kalau boleh doktor nak selamatkan dia sebab muda lagi, baru 25 tahun.

Menurut Nazirah, doktor memberi ubat antibiotik dan oksigen ‘paling tinggi’ kepada kedua-dua adiknya, namun paru-paru mereka sudah tidak mampu untuk menerima ubat tersebut lagi.

“Saya tahu doktor dah cuba sedaya upaya, tapi Allah lebih sayangkan mereka semua.

“Masa arwah ayah meninggal, saya dengan mak masih dekat wad lagi. Najihah dan Haziqah di ICU sebab mereka ‘ditidurkan’. Bila dapat tahu ayah dah tak ada, saya reda sebab ayah pun dah sakit lama. Saya tak boleh nak buat apa dah,” katanya.

Hanya mampu berserah dan berdoa, Nazirah mengakui ketika ini dia masih lagi dalam keadaan trauma apabila tiga insan tersayang pergi secara mengejut dari hidupnya.

“Kami kemudian dimaklumkan Najihah dah tiada. Saya dalam hati berkata dugaan apa ini sambil memikirkan nasib adik bongsu saya Haziqah yang tengah bertarung nyawa lagi.

“Setiap kali saya terdengar bunyi telefon atau nak tidur malam saya jadi takut. Mak saya reda dengan apa yang Allah uji, bayangkan suami dan anak-anak dia dah tak ada tapi mak lagi kuat dari saya,” katanya.

Walaupun perit untuk menerima kenyataan, Nazirah cuba untuk tabah dan turut menasihati masyarakat di luar sana agar sentiasa menjaga kebersihan diri, penjarakan sosial dan kekal di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar.

Ketiga-tiga mereka, dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakri Batu 6, Muar Johor.

Loading...

Leave a Reply