Portal berita terbaik anda

Politik

Nama Mahathir rosak jika tak serah jawatan PM pada Anwar

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad akan merosakkan namanya sendiri seandainya tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Datuk A Sivanesan menjelaskan, peralihan kuasa itu merupakan janji Dr Mahathir selain ia langkah demi kepentingan negara sendiri.

“Seandainya Dr Mahathir tidak serahkan kuasa, beliau akan merosakkan namanya sendiri sebab ini adalah janjinya kepada rakyat. Pada usia 94 tahun, saya tidak menjangka Dr Mahathir akan menghancurkan namanya.

“Beliau berada dalam politik bukan satu atau dua tahun, satu dunia sudah mengenalinya,” katanya semasa dihubungi di sini.

Sivanesan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Saifullah Baiduri yang menyambut baik keputusan DAP untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) apabila kerajaan mengambil keputusan tidak mengiktiraf mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai satu peperiksan rasmi dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Saifullah turut mengucapkan selamat menjadi pembangkang kepada DAP lantaran masih degil mempertahankan sikap mereka dalam mempertahan UEC.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming menegaskan laporan oleh sebuah portal berita yang mengatakan DAP akan meninggalkan kerajaan jika Putrajaya tidak mengiktiraf UEC adalah tidak betul dan telah disalah petik.

Kor Ming yang juga Ketua DAP Perak melalui ciapan di Twitter memberitahu, laporan yang diterjemahkan portal berita berkenaan sangat mengelirukan kerana kenyataannya diambil di luar konteks.

Dalam pada itu, Sivanesan menjelaskan, dalam politik, apa sahaja boleh berlaku termasuk nilai persahabatan dahulu yang kini berubah menjadi seteru dan sebaliknya.

Anwar sebelum ini mengakui, ada perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Jelasnya, perjanjian itu bagaimanapun bukan hanya melibatkan pemimpin PH sebaliknya, dinyatakan secara umum dengan jelas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Loading...

Leave a Reply