Portal berita terbaik anda

Utama

Najib, selebriti terkenal ucap takziah pemergian Abam Bocey

JENAKA yang bersahaja dan idea Allahyarham Abam bersama kumpulan Bocey ketika hayatnya dahulu cukup memberi kesan di hati ramai peminat.

Atas sebab itu pemergian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan secara mengejut pada Isnin memberi tamparan yang sangat hebat sehingga ramai yang meluahkan rasa sedih.

Tidak kurang juga beberapa pihak yang menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antaranya mengucapkan takziah di atas pemergian pelawak terkenal itu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Berita yang sangat mengejutkan kita pagi ini. Saya diberitahu pelawak terkenal Abam Bocey telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al Fatihah,” tulis beliau di Facebook.

Bagi pengacara popular, Neelofa pula menyifatkan Allahyarham Abam sebagai seorang yang ikhlas.

“Setiap kali saya bekerjasama dan menemu bual Abam, ia pasti dipenuhi dengan keseronokan.

“Arwah sangat ikhlas, peramah dan lucu. Kehilangan yang cukup besar kepada industri.

“Salam takziah kepada Abam Bocey dan keluarga. Al-Fatihah,” tulisnya di Twitter.

Anggota kumpulan lawak Shiro, Shahrol menerusi status di akaun Facebook pula mendoakan yang baik-baik untuk Allahyarham Abam.

“Hujan renyai pagi ini seakan menangisi pemergian sahabat seperjuangan dalam bidang seni.

“Sahabatku.. semoga Allah swt menempatkanmu di kalangan golongan orang2 yg beriman.. AlFatihah Abam Bocey,” katanya dalam status tersebut.

Allahyarham Abam mulai dikenali selepas menyertai rancangan realiti televisyen, Maharaja Lawak sejak 2013 dan menjuarai rancangan tersebut dua kali berturut-turut iaitu pada 2015 dan 2016 sebelum di tempat ketiga pada tahun lalu.

Loading...

Leave a Reply