Portal berita terbaik anda

Politik

Najib punca utama kerajaan PH tumbang, kata Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyalahkan pendahulunya Datuk Seri Najib Tun Razak, kali ini susulan kejatuhan PH melalui pembentukan blok baru politik tanah air.

Ketika ditanya berkaitan “konspirasi” itu, Mahathir berkata ia berpunca daripada perbuatan Najib.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib,” kata Mahathir dalam wawancara dengan Sinar Harian di Putrajaya yang disiarkan hari ini.

“Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.”

PH tumbang susulan pembentukan blok baru politik antara Bersatu, Umno, PAS dan GPS.

Sementara itu, Mahathir berkata Najib dan PAS menekankan naratif Melayu-Islam dan cuba mendapatkan sokongan Bersatu untuk menubuhkan kerajaan.

“Kita kena singkirkan DAP, jadi kita kena bekerjasama dengan Umno. Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah.

“Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi perdana menteri.

“Saya ingat saya jadi perdana menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mahathir juga mendakwa Najib mahu mendapatkan kembali kuasa dengan secepat mungkin kerana tidak lama lagi keputusan perbicaraan akan diumumkan dan beliau mungkin dihukum.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh.

“Sekarang ini mereka dah menang,” katanya lagi.

Loading...

Leave a Reply