Portal berita terbaik anda

Politik

‘Najib, mengaku sahajalah kerajaan dahulu boros!’ – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengaku kerajaan terdahulu boros dalam perbelanjaan sehingga baki Akaun Hasil Disatukan hanya tinggal RM450 juta setakat 30 April 2018, berbanding RM11.86 bilion pada 31 Dis 2017, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Ia penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib, dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada 6 Sept, mendakwa baki akhir Akaun Hasil Disatukan setiap bulan tidak pernah lari antara RM18 bilion dan RM20 bilion.

Beliau menegaskan, penjawat awam yang terlibat dalam proses pengurusan aliran wang sentiasa memastikan sekurang-kurangnya cukup dana penampan untuk dua bulan bayaran gaji dan pencen.

Namun, Guan Eng berkata, Najib yang juga bekas menteri kewangan, gagal membezakan antara Akaun Hasil Disatukan dan Kumpulan Wang Disatukan.

“Beliau salah anggap bahawa jumlah di dalam Kumpulan Wang Disatukan boleh digunakan. Ketara sekali, beliau gagal dalam ujian perakaunan,” katanya.

Menurut Guan Eng, di bawah Kewangan Disatukan, terdapat tiga akaun iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan, dan Akaun Amanah Disatukan.

Dari tiga akaun itu, hanya Akaun Hasil Disatukan boleh digunakan untuk perbelanjaan pengurusan.

Pecahan Kewangan Disatukan berdasarkan kenyataan Guan Eng hari ini.

Guan Eng sebelum ini mendakwa, baki Akaun Hasil Disatukan hanya tinggal RM450 juta kerana kerajaan terdahulu boros berbelanja dalam tempoh empat bulan pertama 2018.

“Jelas, ini adalah ‘perbelanjaan pilihan raya umum’ yang digunakan untuk cuba membantu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” katanya.

Guan Eng berkata, Najib tidak harus ‘berpura-pura’ mengenai kedudukan fiskal sebenar apabila bekas PM itu menegaskan BN telah meninggalkan ‘puluhan bilion ringgit’ kepada kerajaan baharu.

“Hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjakan untuk membayar emolumen (gaji penjawat awam) dan pencen sedangkan untuk ini sahaja, Kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan.

“Atau, adakah Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan Akaun Hasil Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun?” tambahnya.

Loading...

Leave a Reply