Portal berita terbaik anda

Utama

Puluhan tahun abadikan diri di jalan Allah, naib Presiden MAPIM meninggal dunia

NAIB Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Abdul Aziz Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Serdang, Isnin lalu.

Allahyarham yang berusia 53 tahun sebelum itu menjalani rutin dialisis di sebuah pusat perubatan di Kajang, tidak sedarkan diri secara tiba-tiba sebelum dirujuk ke hospital dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, Allahyarham yang menderita sakit sejak beberapa tahun lalu sempat berbual dengan ahli keluarga sebelum itu.

“Hari ini MAPIM kehilangan tokoh yang begitu kita sayangi dan disegani kerana kerja-kerja kemanusiaan yang begitu dekat dengan arwah.

“Sepanjang kami bersama di dalam misi, sebanyak 36 masjid dibina atas usaha arwah termasuk di Gaza.

“Kebetulan pula, esok saya dijadualkan ke Syria untuk misi terbaru MAPIM dan akan melawat beberapa projek hasil usaha arwah.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskannya kerana arwah ibarat guru dalam kerja kemanusiaan selama ini,” katanya.

Abdul Aziz meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri tahun lalu.

Loading...

Leave a Reply