Portal berita terbaik anda

Sukan

Nafuzi Zain dilantik jurulatih TFC

KUALA TERENGGANU – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) secara rasmi melantik pemangku jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain, sebagai ketua jurulatih pasukan itu, bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Presiden PBSNT, dalam satu sidang media di Kongres Biasa Tahunan PBSNT, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pelantikan jurulatih kelahiran Kelantan itu dibuat, berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan ketika beliau mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu daripada bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara drastik, Mei lalu berikutan prestasi buruk pasukan.

“Pemilihan Nafuzi dibuat selepas mengambil kira rekod prestasi beliau dalam mengurus pasukan, selepas diamanahkan tugas sebagai pemangku ketua jurulatih. Kita nampak keberanian dan keberkesanan beliau, membawa anak-anak (pemain) Terengganu dalam pasukan utama.

“Nafuzi akan diberi mandat penuh untuk membimbing dan membentuk barisan pemain pasukan TFC, dibantu Sabri Sulong yang merupakan jurulatih pasukan TFC lV musim ini,” katanya pada sidang media kongres tersebut.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata PNSNT juga telah melakukan rombakan terhadap barisan pemain TFC, dengan menampilkan sehingga 60 peratus muka baharu, dengan sasaran 80 peratus adalah anak jati Terengganu, musim depan.

Menurut beliau langkah itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan PBSNT sehingga 30 peratus, selain mengangkat bakat dalam kalangan anak-anak tempatan.

“Ini adalah cabaran yang mahu kita sambut, bahawa sebenarnya anak negeri mampu jadi yang terbaik dan kita perlu bermula dari sini.

“Dalam bola sepak kita mesti ada filosofi dan perancangan kita ialah supaya TFC sehingga TFC V mempunyai DNA yang sama, yang akan memudahkan kita menolak pemain dari bawah ke pasukan utama,” katanya yang turut mengumumkan pelantikan Roshadi Wahab sebagai jurulatih TFC ll musim depan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak akan menjadi gelanggang rasmi TFC bagi menjalani perlawanan Liga M musim depan.

Menurut beliau kerja-kerja menaik taraf padang yang dibiayai Liga Bola sepak Malaysia (MFL) sudah siap sepenuhnya, dan hanya menunggu masa untuk digunakan.

“Bagaimanapun kita ada sedikit penambahbaikan di beberapa bahagian, seperti di bilik persalinan dan bilik VIP yang dijangka siap selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

“Jadi untuk perlawanan pertama Liga Super 2020, TFC akan beraksi di stadium ini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) yang lebih selesa dan kapasiti lebih besar sementara TFC ll kekal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,” katanya.

— BERNAMA

Loading...

Leave a Reply