Nabi Muhammad tak pernah benci transgender, kata ustaz DAP

ISTERI Nabi Muhammad Aishah pernah mempunyai seorang kawan transgender dan nabi sendiri tidak pernah melarang isterinya daripada berkawan dengan individu transgender, kata ustaz DAP, Wan Ji Wan Hussein.

Dalam menjelaskan kebencian di kalangan ramai umat Islam terhadap golongan transgender, Wan Ji berkata bahawa beliau bingung dengan sikap ramai umat Islam di negara ini.

“Saya bingung mengapa ada kebencian terhadap komuniti transgender.”

“Ini bukan fenomena baru, transgender telah wujud sejak zaman nabi. Ada seorang transgender semasa zaman Muhammad bernama Khit.”

“Suatu hari, nabi pulang ke rumah dan mendapati isterinya Ummu Salamah dengan Khit, mereka adalah kawan baik dan nabi tidak membantahnya.”

“Nabi hanya mengingatkan Khit agar bersikap sopan terhadap orang lain dan tidak bercakap buruk tentang orang lain.”

“Banyak yang mengambil cerita ini sebagai satu kebencian terhadap transgender tetapi cerita itu bukan tentang kebencian, ia tentang nabi yang mengingatkan kawan Ummu Salamah untuk tidak bercakap buruk terhadap orang lain,” kata Wan Ji memetik sebuah hadith riwayat Al-Bukhari, ketika bercakap di satu forum ‘Adakah Malaysia Baru selamat untuk wanita dan kanak-kanak perempuan’ di Publika.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan bekas penasihat agama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membantah sikap pegawai agama yang menurutnya kurang menghormati orang lain.

Beliau menjelaskan bahawa dalam banyak kes, pegawai agama cenderung tidak menghormati mereka yang ditangkap kerana didakwa melakukan dosa.

Wan Ji mengulas soalan mengenai keputusan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini yang dipetik akhbar The Star yang mahu menghentikan aktiviti serbuan khalwat malam.

“Terdapat kes pegawai enggan menghormati mereka yang didakwa ditahan kerana kesalahan khalwat.”

“Oleh kerana mereka mempunyai kuasa, mereka tidak menghormati orang lain, ini adalah masalah sikap, mereka gunakan kuasa untuk malukan orang lain,” tambahnya.

Bercakap lebih lanjut, Wan Ji berkata masalah lain umat Islam di negara ini adalah ramai yang cenderung mendengar pandangan pendakwah popular dan bukannya mendengar pandangan lain.

Bercakap pada majlis itu, Wan Ji menjelaskan bahawa kemunculan pendakwah program realiti televisyen menyebabkan banyak pendengar dan penonton menerima apa yang diberitahu kepada mereka hanya kerana orang itu popular.

“Masalahnya bukan Islam sebagai agama tetapi masalahnya terletak dalam tafsiran Islam. Pendakwah popular baru yang datang dari rancangan realiti tv membuat tafsiran mereka sendiri tentang Islam.”

“Apa yang disebut ‘Pencetus Ummah’ sebenarnya ‘Perosak Ummah’ tetapi pandangan mereka diterima kerana mereka popular. Jika seseorang seperti saya mengatakan sesuatu tentang Islam, saya akan disebut anti-Islam,” katanya.

Forum tersebut diadakan sempena dengan Hari Wanita Antarabangsa dan dianjurkan oleh Art For Grabs, dan UNICEF Malaysia.

Ahli panel lain termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Dayangku Zyana dari SEED, dan Sumitra Visvanathan dari WAO.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *