Portal berita terbaik anda

Politik

Mungkin menteri sudah jemu dengar Najib, seloroh Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pasti mengapa tiada menteri di Dewan Rakyat ketika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membahaskan usul laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) semalam.

Namun beliau sempat berjenaka dengan mengatakan mungkin para menteri sudah bosan mendengar Najib.

“Terserah kepada menteri dan anggota parlimen sama ada nak dengar atau tidak. Semuanya akan masuk (direkodkan) dalam hansard, pegawai yang hadir akan mencatat. Saya tak fikir ia isu besar.

“Saya tak tahu mengapa mereka tidak dengar, (mungkin) sudah selalu dengar (kata-kata Najib). Sama ada jemu atau apa, wallahualam,” katanya ketika diminta mengulas peristiwa itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bilik mesyuarat Parlimen hari ini.

Semalam, Najib yang juga anggota parlimen Pekan mengongsikan gambar di Facebooknya yang menunjukkan tiada menteri dan timbalan menteri ketika beliau berucap.

Muhyiddin berkata, bukan perkara aneh bagi seorang anggota parlimen berucap ketika tiada atau tidak ramai anggota parlimen lain dalam dewan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang juga ada di sidang media itu berkata, dengan teknologi semasa, menteri boleh mengikuti perjalanan sidang daripada pejabat atau di mana-mana saja.

Pelbagai media termasuk KiniTV menyiarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat sepanjang hari.

Loading...

Leave a Reply